Skip to main content

Program Mobiliti FPTP UTHM ke Thailand 2025: MoU Dimeterai, Pengalaman Global Diterokai di Burapha University dan Kasetsart University

Disediakan oleh : Dr. Nurazwa Ahmad

THAILAND - Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Mobiliti Antarabangsa Berkredit ke Thailand dari 4 hingga 10 Mei 2025, melibatkan dua universiti ternama, Kasetsart University (KU) dan Burapha University (BUU).

Program selama seminggu ini disertai oleh 13 orang peserta yang terdiri daripada 3 pensyarah dan 10 pelajar, diketuai oleh Dr. Nurazwa Ahmad. Objektif utama lawatan ini adalah untuk mengukuhkan hubungan strategik antara institusi serta memperluas pendedahan pelajar terhadap aspek akademik dan budaya dalam persekitaran global.

Antara kejayaan signifikan program ini ialah pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara FPTP UTHM dengan Faculty of Business Administration, KU dan Faculty of Science and Arts, BUU (Chanthaburi Campus). Pemeteraian MoU ini diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPTP, Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad. Perjanjian tersebut merangkumi kerjasama dalam mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan, pelantikan penilai luar serta penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa.

Pelajar turut mengikuti dua syarahan utama bertajuk “Beyond Numbers: Data Science for Business Decisions” oleh Dr. Pavinee Rerkjirattikal dari Kasetsart University dan “Contemporary Business Development in Eastern Thailand” oleh Mr. Steven John Bodley dari Burapha University. Kedua-dua sesi ini memberi pandangan terkini dalam bidang perniagaan dan analitik data di peringkat serantau.

Pengalaman praktikal turut menjadi fokus lawatan, termasuk lawatan ke Faculty of Gems, BUU di mana pelajar berpeluang menghasilkan replika cincin menggunakan teknologi wax moulding. Selain itu, mereka turut menyertai simulasi penerbangan dron bersama Faculty of Marine Technology, memberi pendedahan kepada teknologi terkini dalam bidang teknologi marin.

Peserta turut mengunjungi Khung Kraben Bay Royal Development Study Center, sebuah lokasi ekopelancongan berteraskan pemeliharaan hutan paya bakau. Lawatan turut merangkumi destinasi bersejarah dan budaya di Bangkok dan Chanthaburi seperti Wat Arun, Wat Pho, Muzium Cathedral, Pasar Chatuchak dan Komuniti Pinggir Sungai Chanthaboon yang menampilkan warisan tradisional Thailand.